mutiara kata

Tuesday, February 22, 2011

22 februari

assalamualaikum..

hari ini aku ingin menulis panjang..tarikh ini takkan aku lupa sepanjang hidupku..saat aku kehilangan nyawaku..

Hari itu sangat cerah. Ya, aku masih dapat menghirup udara di bumi. Namun badanku terasa lesu. Mungkin malamnya aku tak lena tidur. Dalam erti kata, aku langsung tak dapat tidur. Begitu perlahan perjalananku ke kelas pagi itu. Bersama rakan-rakan, aku cuba untuk tersenyum. Mungkin juga untuk gembirakan hatiku sendiri.

Pagi itu kelas inggeris. Entah ke mana fikiranku melayang. Kata-kata pensyarahku hanya melalui pergi dari pendengaranku. Maafkan aku, puan. Telefon bergetar dalam beg ku. Entah kenapa saat ia mula-mula bergetar, aku cepat-cepat menjawabnya. Pak cik ku. Kedengaran suaranya bergetar. Debaran hatiku mula berdetak. Apakah yang berlaku?? “mama tenat. Baliklah” aku terdiam. Inginku katakan pada kawanku, munirah. Tapi aku kelu. Terusku berlari ke luar kelas. Mecari tempat untuk bertenang.

Di tandas, aku ceritakan pada munirah..hatiku takut. Begitu takut. Ingin saja aku pulang pada waktu itu juga. Setelah dapat permintaan daripada pensyarahku, aku segera bergegas ke hostel dengan deraian air mata. Dalam perjalanan, aku menelefon kakak. Kata kakak, abah dah telefon kakak awal-awal pagi dan menyuruhnya pulang. Kakak sedang bersiap. Tapi aku?? Bagaimana aku mahu pulang??

Sesampainya di bilik, aku mendapat panggilan sepupuku. “kak yong, ain takut. Ain nak balik” akhirnya luahan itu diiringi dengan esakan tangisku sendiri. Aku tahu, aku perlu bersabar. Aku sedar, aku perlu berdoa tiada apa-apa yang berlaku pada mama. Tapi hati ini terlalu bergetar. Takutnya yang amat. Terlintas di hatiku, apakah aku akan berpisah dengan ibuku buat selama-lamanya? Ohh..tidak. aku takut untuk memikirkan tentang itu.

Akhirnya, itu lah hakikat kehidupan. Hidup hanya sementara. Kita hanya pinjamanNya. ‘INNALILLAHIWAINAILAHIRAAJI’UN’ . Dari panggilan kakak, aku hanya menerima pemergian mama. Jam 12.22 petang, mama mengehembuskan nafasnya yang terakhir dalam dakapan ayahku. Ya Allah..terima kasih kerana KAU pinjamkan seorang ibu yang sangat menyayangi aku sejak aku didalam rahimnya sehingga saat pemergiannya. Aku redha KAU mengambilnya kerana Kau lebih berhak padanya.

Mama. 22 februari 2010, hari terakhir aku memandang jasadmu yang kaku. Hari terakhir aku mengucup dahimu yang sejuk itu. Hari terakhir aku menemanimu sehingga kamu dimasukkan ke dalam pusaramu. Hari terakhir aku bersama mu, mama. Andai kau masih punya waktu, aku tak mahu waktu itu terhenti memisahkan kita. Namun itulah kuasa pencipta kita. DIA yang mencipta, DIA juga berhak mengambilnya.

Mama. Anakmu ini sangat gila orangnya. Sehingga saat ini anakmu begitu murah air matanya kerana sangat-sangat merinduimu. Pernah juga anakmu mengambil telefon, menekan-nekan butang nombor, untuk menelefonmu, walhal anakmu bukannya tak tahu, telefonmu hanya bersebelahan dengannya, hanya deringan yang kedengaran, namun suaramu tak juga muncul-muncul. Pernah juga berkali-kali anakmu mesej pada telefonmu. Mengatakan anakmu begitu menyayangimu. Jangan tinggalkan anakmu, kerana anakmu masih memerlukanmu.

Mama, anakmu terasa kesunyian tanpamu. Setiap saat dan waktu, hanya namamu yang disebut dalam hati. Tatkala hati anakmu meronta-ronta merinduimu, hanya suara mu dari video-video dalam telefon menjadi teman mengubat rindu. Di saat anakmu jatuh lemah tidak bermaya dengan ujian Tuhan, bertemankan zikir dan al-fatihah ku hadiahkan untukmu. Di saat anakmu mimpikan kehadiranmu, hati ini tenang rasanya. Rinduku teubat dengan senyumanmu yang bagaikan bahagia di sana. 

Alhamdulillah..moga mama sentiasa dilimpahi kasih dan rahmat dariNYA.
Hari ini genap setahun kami berpisah. Bagaikan semalam baru sahaja perkara itu berlaku. Mama, walaupun jasadmu tiada di sisi, tapi jiwamu sentiasa wujud dalam hati. Tenanglah mama di sana. Doaku sentiasa untuk mu, mama.

dari anakmu-maihani

2 comments:

  1. semua yg hidup pasti akan mati..berdoalah semoga kita ketemu dgn org2 yg disayangi di akhirat kelak.. life must go on..be strong mai!

    ReplyDelete
  2. thanks, kak dinah..need sumone hugging me and comfort me..

    ReplyDelete