mutiara kata

Friday, October 15, 2010

surat untuk sahabat


Sihatkah dikau, duhai sahabat?? Sedang bersedihkah atau senyuman sudah terukir kembali dibibirmu?? Tika ini, aku pasti, kau sedang memegang erat warkah ini, diharap olehku untuk mencuri sekejap hatimu untuk mendalami bait-bait ayat disini.

Sahabat, kita mengenali kerana takdir. Ingatkah dikau pertama kali kita mengikat tali persahabatan?? Ketahuilah duhai sahabat. Tika itu hatiku sudah tersimpan ruang untukmu. Atas nama sahabat, kawan, teman dan seperjuangan, aku menyemat erat, memeluk kemas namamu di hatiku, agar kau tidak akan hilang walaupun hatiku terbelah, terluka mahupun terhiris.

Sahabat, waktu itu aku sendirian. Mengenangkan kehidupanku yang hanya masih bersisa. Maafkan aku duhai sahabat. Aku bukan siapa-siapa untuk menolak takdir Yang Maha Kuasa. Aku hanya insan yang lemah, terkadang diberi ujian sedikit, tapi jatuh menyembah bumi. Terkadang diberi nikmat sedikit, terlupa pula untuk mengucapkan kata syukur pada-Nya. Sesungguhnya aku alpa, aku mengakuinya. Namun, dugaan ini cukup perit bagiku. Hatiku pedih untuk menyimpan sendirian. Hatiku sakit untuk menahan sendirian. Ingin saja aku meluahkan azimat ‘aku tak mampu’. Ingin saja aku menghamburkan air mata yang tidak lekang menghujani pipiku. Ingin saja aku mengasingkan diri menjauhimu supaya tiada yang berduka jika aku diambilNya.

Maafkan aku, sahabat. Bukan niatku untuk membohongimu. Tiada difikiranku untuk terus memalsukan kehidupanku. Percayalah, senyuman itu sungguh ikhlas, ketawa itu dari jiwa, dan kata-kataku dari hati. Pastinya semua ikhlas untukmu, sahabat. Cuma ikhlas itu hanya sekejap. Sementara pabila hadir bersamamu. Pabila melihat wajahmu, mendengar ceritamu, ketawamu, dan senyumanmu, hatiku berubah. Tidak sanggup untukku melukakan hatimu semata-mata kerana dugaan yang terpaksa kutanggung. Walaupun hakikatnya itu masih realiti. Dilitupi dengan penderitaan yang tiada kesudahannya.

Sahabat, saat ini, entah bagaimana untukku lafazkan kalimah syukur dan terima kasih padamu..kerana hadir dalam hatiku sebagai seorang sahabat. Terima kasih jua untuk saat-saat indah bersamamu, mengenali kisah abadi sebuah persahabatan. Aku bersyukur. Aku puas. Walaupun hari-hari mendatang aku tidak lagi bersamamu. Halalkan segala kata-kataku, makan minumku, air mataku untukmu, ilmu yang dikongsi bersama, dan segalanya sewaktu kita bersama.

Saat ini, pintaku padamu. Ukirlah senyuman walaupun sesukar mana dugaan yang kau hadapi. Kerana selagi kita bernafas dalam kalimah ‘LA ILAHA ILLALLAH’, selagi itulah kita berada dibawahNya yang sentiasa melimpahkan nikmat dan juga tidak lupa dugaan supaya kita tidak alpa denganNYA. Terima kasih atas kunjunganmu dihatiku sehingga hari ini, kau masih datang menziarahi pusaraku. Doakanlah aku, duhai sahabat.

Terima kasih, sahabat. Salam kasih yang terakhir buatmu.

Tangannya menggigil. Air mata berjujuran. Kedengaran esakan tangisan seorang sahabat. Dilipat surat itu dengan perlahan-lahan. Dilapkan manik-manik jernih dipipi dengan tapak tangan. Dengan kalimah ‘bismillahirrahmanirrahim’, dikucup dahi seorang sahabat. “Pergilah kau dengan tenang”, hatinya berbisik.
Hari ini berakhir kisah seorang sahabat. Tapi dalam hatinya, kasih tiada penghujungnya.


Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa

Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Ku sahabatku kau teman sejati



cetusan idea,
zarahani

2 comments: